UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS

UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS - FAKULTI PENDIDIKAN DAN PEMBANGUNAN MANUSIA

KRT 3013 TEKNOLOGI MAKLUMAT SEKOLAH RENDAH

Pensyarah : Dr. Ramlah binti Mailok ( &nbspmramlah@upsi.edu.my )

TUGASAN 1C : PEMBANGUNAN BLOG

Dateline :12 Disember 2011

PERIBAHASA

Peribahasa Melayu, Simpulan Bahasa dan Maksud

Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air
Maksud: Segala-gala yang dikehendaki sudah diperoleh.

Yang lama dikelek, yang baharu didukung
Maksud : Adat yang lama tetap diamalkan di samping budaya hidup yang baharu.

Seperti lembu dicucuk hidung
Maksud : Orang yang selalu menurut kemahuan orang.

Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas
Maksud : Adat yang tidak berubah; sesuatu yang tetap utuh.

Bagai kaca terhempas ke batu
Maksud : Sangat sedih atau kecewa.

Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat
Maksud : Kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat.

Bagai aur dengan tebing
Maksud : Hubungan yang rapat antara sama sama yang lain dan saling membantu.

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
Maksud : mengalami susah senang bersama-sama.

Bara yang digenggam biar sampai jadi arang
Maksud : Mengerjakan sesuatu yang sukar hendaklah sabar, sehingga mencapai kejayaan.

Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri
Maksud : Walau bagaimanapun kelebihan di negara orang tetapi negeri sendiri lebih baik lagi.

Melentur buluh biarlah dari rebungnya
Maksud : Mendidik anak biarlah sejak mereka kecil lagi.

Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi
Maksud : Dua orang atau pihak yang sama darjat dalam adat.

Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing
Maksud : Bersama-sama menghadapi atau mengerjakan sesuatu.

Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai
Maksud : Kalau takut berhadapan dengan penderitaan , lebih baik jangan melakukan sesuatu yang susah.

Indah khabar daripada rupa
Maksud : Perkhabaran tentang sesuatu perkara yang dilebih-lebihkan.

Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah
Maksud : Pengagihan yang sama banyak.

Bukit sama didaki, lurah sama dituruni
Maksud : Perhubungan yang sangat akrab, senang susah bersama.

Kacang lupakan kulit
Maksud : Orang yang melupakan asalnya atau orang yang pernah menolongnya setelah mendapat kesenangan.

Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung
Maksud : Menurut adat atau peraturan di tempat yang kita diami atau tinggal.

Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak
Maksud : Menyesuaikan diri dengan tempat dan keadaan.

Ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua
Maksud : Kesilapan yang dilakukan oleh seseorang menyebabkan orang lain yang menerima akibatnya.

Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya
Maksud : Tak akan tercapai maksudnya kalau tak mahu berusaha dan bersusah payah.

Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian
Maksud : Bersusah payah terlebih dahulu untuk mendapatkan kesenangan pada kemudian hari.

Yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang
Maksud : Sesuatu benda tidak akan datang tanpa usaha.

Untung anak lelaki cari-carikan, untung anak perempuan nanti-nantikan
Maksud : Orang lelaki yang merisik bakal isterinya.

Bagai ikan pulang ke lubuk
Maksud : Orang yang pulang ke tempat asal atau kehidupan yang senang.

Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit
Maksud : Sabar mengerjakan sesuatu lama-lama berhasil juga.

Bak cendawan tumbuh selepas hujan
Maksud : Terlalu banyak pada sesuatu masa.

Yang kita kejar tak dapat, yang kita kendong pula berciciran
Maksud : Bernasib malang kerana setelah memperoleh sesuatu, tetapi yang sudah di tangan hilang pula.

Biar mati anak, jangan mati adat
Maksud : Orang yang kuat perpegang pada adat.

Sediakan payung sebelum hujan
Maksud : Berjaga-jaga dulu sebelum mendapat sesuatu bencana.

Mencari jalan
Maksud : Berikhtiar menyelesaikan sesuatu perkara.

Memerah otak
Maksud : Berfikir dengan bersungguh-sungguh.

Berbesar hati
Maksud : Gembira.

Anak buah
Maksud : a. Anak saudara. b. Pekerja di bawah jagaan kita.

Tuan rumah
Maksud : Tempat berlangsungnya sesuatu acara.

Batu penghalang
Maksud : Halangan.

Darah daging
Maksud : Anak dan saudara-mara daripada keturunan sendiri.

Meninggi diri
Maksud : Sombong.

Bermuka dua
Maksud : Tidak jujur.

Baik hati
Maksud : Bersikap baik dan penyayang (suka menolong).

Tulang belakang
Maksud : Punca kekuatan/ orang harapan.

Terang hati
Maksud : Lekas pandai.

Rendah hati
Maksud : Tidak sombong.

Murah hati
Maksud : Pemurah.

Tangan kosong
Maksud : Hampa.

Lintah darat
Maksud : Peniaga yang mengambil keuntungan yang terlalu tinggi.

Anak dagang
Maksud : Orang luar yang datang menetap di sesuatu tempat.

KARANGAN UPSR

Faedah Membaca

Membaca adalah satu amalan yang baik. Pelbagai jenis bahan bacaan yang boleh dibaca seperti surat khabar, majalah dan buku cerita. Bahan-bahan bacaan ini boleh didapati dengan mudah sama ada dengan membeli atau meminjam di perpustakaan.

Melalui pembacaan, kita akan dapat menambahkan ilmu pengetahuan. Menerusi ilmu pengetahuan inilah kita akan dapat memajukan diri kita. Kita dapat menulis dan berhujah dengan baik apabila mempunyai pengetahuan yang luas. Melalui pembacaan, kita akan dapat mengetahui perkembangan semasa.

Selain itu, membaca juga dapat mengisi masa lapang kita. Membaca dapat mencegah sesorang daripada membuang masa dan terlibat dengan gejala sosial seperti melepak dan lumba haram. Melalui pembacaan juga seseorang boleh mendapat hiburan. Cerita-cerita yang dibaca dapat dijadikan pedoman dalam menjalani kehidupan seharian.

Bagi seseorang murid, sikap suka membaca sangat penting. Murid yang rajin membaca akan dapat mengingaati apa yang dipelajari dengan mudah. Murid yang rajin membaca buku akan memudahkan mereka menjawab soalan peperiksaan dengan cemerlang. Sebagai murid, masa yang terluang perlu diisi dengan aktiviti membaca.

Melalui pembacaan surat khabar juga dapat membantu para belia mencari pekerjaan. Ini kerana di dalam surat khabar terkandung iklan jawatan kosong. Selain itu, peluang melanjutkan pelajaran ke university juga terdapat di dalam surat khabar. Belia yang kurang membaca akan terlepas banyak peluang.

Kesimpulannya, membaca adalah amalan yang mulia dan patut dipupuk sejak kecil lagi. Ibu bapa perlu menggalakkan anak-anak membaca setiap hari. Cogan kata “ Membaca Jambatan Ilmu” harus dijadikan pegangan hidup kita.


Faedah Menabung

Menabung bermaksud menyimpan sebahagian wang untuk masa hadapan. Sikap menabung perlu dipupuk sejak kecil lagi. Menabung memberi banyak faedah kepada kita.

Antara kebaikan menabung ialah kita dapat mengamalkan sikap berjimat cermat. Oleh sebab itu, kita perlu merancang segala perbelanjaan harian. Kita hendaklah membawa bekalan air dan makanan ke sekolah. Jesteru itu, kita akan dapat menyimpan baki duit di dalam tabung.

Apabila kita menabung, kita mempunyai wang simpanan. Wang simpanan boleh digunakan untuk menampung perbelanjaan kita untuk melanjutkan pelajaran ke universiti. Wang simpanan juga dapat membantu kita membeli barang keperluan diri. Ibu bapa pasti berasa bangga dengan sikap kita yang pandai berjimat cermat dan berdikari itu.

Menabung juga dapat membantu keluarga apabila ditimpa kesusahan. Jika kita sakit, wang tersebut boleh digunakan untuk mendapatkan rawatan. Selain itu, wang ini juga boleh digunakan jika ahli keluarga kita sakit atau ditimpa kemalangan. Justeru itu, kita tidak perlu meminta-minta daripada orang lain.

Menabung juga boleh menambahkan wang simpanan kita. Jika kita menyimpan wang di dalam bank, kita akan mendapat sebahagian keuntungan atau faedah bank. Wang ini boleh digunakan untuk menampung kehidupan pada masa hadapan. Justeru itu, kita akan dapat hidup dengan selesa dan tidak menyusahkan orang lain.

Kesimpulannya, menabung adalah amalan mulia dan banyak manfaatnya. Bak kata pepatah, ‘Ingat sementara belum kena, jimat sementara belum habis’. Oleh sebab itu, mulalah menabung dari sekarang kerana ‘ sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit’.


Kebaikan Belajar Secara Berkumpulan

Belajar secara berkumpulan adalah salah satu kaedah pembelajaran. Kebiasaannya, ahli kumpulan terdiri daripada empat hingga lima orang. Mereka bebas memilih tempat untuk belajar sama ada di rumah, sekolah atau perpustakaan.

Belajar secara berkumpulan lebih baik kerana murid-murid dapat bertukar-tukar fikiran tentang sesuatu tajuk yang dibincangkan. Murid-murid juga dapat berkongsi ilmu pengetahuan. Ini kerana setiap murid mempunyai kelebihan tersendiri dalam menguasai sesuatu mata pelajaran. Murid-murid akan berasa lebih seronok belajar secara berkumpulan.

Selain itu, murid-murid dapat memahami sesuatu perkara dengan lebih jelas. Rakan-rakan dalam kumpulan yang lebih faham dapat membantu mereka. Suasana pembelajaran yang ceria dapat merangsang murid-murid untuk mencapai kejayaan. Belajar secara berkumpulan dapat melahirkan murid-mrid yang cemerlang.

Belajar secara berkumpulan juga dapat menghilangkan kebosanan dan menjimatkan masa. Hal ini kerana setiap kumpulan membaca tajuk yang berlainan. Nota-nota ringkas yang dicatat ketika perbincangan lebih mudah diingati ketika mengulang kaji pelajaran. Justeru itu, murid-murid akan berasa lebih yakin pada diri sendiri.

Seterusnya belajar secara berkumpulan dapat mengeratkan hubungan sesama rakan. Keselamatan diri juga terpelihara kerana mereka sering membantu antara satu sama lain. Mereka juga tidak bersendirian terutama dalam perjalanan pergi dan balik ke tempat perbincangan. Mereka yang belajar secara berkumpulan mempunyai satu matlamat dan akan belajar bersungguh-sungguh.

Kesimpulannya, belajar secara berkumpulan banyak kebaikannya. Belajar secara berkumpulan membolehkan murid memperbaiki kemahiran komunikasi. Oleh sebab itu, guru hendaklah menggalakkan murid-murid untuk belajar secara berkumpulan.


Kebaikan Bersukan

Bersukan adalah salah satu aktiviti yang baik dan patut diamalkan oleh semua anggota masyarakat. Aktiviti brsukan boleh dilakukan di mana-mana sahaja. Aktiviti ini mempunyai banyak kebaikan.

Salah satu kebaikan bersukan adalah menyihatkan badan. Orang yang rajin bersukan akan dapat mengekalkan berat badan mereka. Hal ini kerana lemak yang tersimpan dalam badan dapat dibakar ketika melakukan senaman. Sisa toksik dalam badan juga akan turut tersingkir semasa kita berpeluh.

Bersukan juga dapat mengisi masa lapang. Melalui aktiviti ini, kita akan dapat mengelakkan sikap membuang masa yang tidak berfaedah. Apabila kita keluar rumah untuk bersukan, kita dapat menyedut udara segar.

Selain itu, bersukan juga dapat mengaktifkan jantung. Jantung akan dapat berfungsi dengan baik dan mengelakkan penyakit yang berkaitan dengannya. Orang yang sihat dapat menjalani kehidupan seharian dengan lebih ceria. Apabila kita sihat akan dapat menjimatkan perbelanjaan perubatan kerana tidak perlu ke hospital.

Perpaduan kaum dapat dipupuk melalui aktiviti bersukan. Perpaduan kaum amat penting bagi rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Melalui sukan seperti badminton, bola sepak dan olahraga dapat memupuk semangat perpaduan antara kaum. Perpaduan kaum membolehkan rakyat hidup dalam keadaan aman dan damai.

Kesimpulannya, bersukan mempunyai banyak kebaikannya. Justeru itu, ibu bapa perlu menggalakkan anak-anak menyertai aktiviti bersukan. Pihak sekolah juga perlu memastikan semua murid menyertai aktiviti sukan di sekolah.

Wednesday 12 October 2011

Kem Jati Diri di Peladang Setiu Agro Resort, Terengganu






Kem Jati diri ini telah diadakan pada 30 September dan 1 Oktober 2011 iaitu selama dua hari satu malam. Kem ini bertempat di Peladang Setiu Agro Resort, Terengganu. Peserta-peserta yang terlibat adalah terdiri daripada murid-murid Tahun 6 dari  Sekolah Kebangsaan Dato' Hashim 2. Seramai 147 orang murid yang menyertai Kem Jati Diri yang terdiri daripada unit PBSM, TKRS, Tunas Puteri, Puteri Islam dan Pengakap. Seramai 45 orang guru yang turut terlibat dalam program tersebut. 

Program ini bertujuan untuk menguji tahap kekuatan murid dari segi mental dan fizikal. Antara aktiviti yang diadakan termasuklah perkhemahan, pertandingan kawad, pertandingan kraftangan, pertandingan seni kebudayaan dan Jungle Tracking. Majlis penyampaian hadiah dan perasmian penutup telah  disempurnakan oleh Puan Guru Besar Sekolah Dato' Hashim 2 iaitu Puan Rosnah binti Che Amat.

Khidmat Bantu PSS



Saya berpuas hati dengan hasil Khidmat Bantu PSS kerana dapat melihat perubahan yang berlaku terutama dari segi keceriaan di Pusat Sumber Sekolah Kebangsaan Banggu. Kerjasama daripada semua pihak dapat dilihat dengan jelas apabila guru-guru PSS bertungkus lumus dalam menyiapkan bahan-bahan yang diperlukan untuk hiasan dinding dengan kata-kata hikmat dan menyiapkan sudut-sudut seperti Sudut Bercerita dan Sudut Nilam. Perkongsian idea yang mantap daripada guru-guru dapat mempelbagaikan teknik untuk menghias pusat sumber dengan lebih baik dan lebih ceria daripada sebelumnya.

Saturday 1 October 2011

CARA MENULIS NILAI MURNI


CONTOH-CONTOH
NILAI MURNI/PENGAJARAN

1. Hormat-menghormati
  • Kita mesti hormat dan taat kepada ibu bapa / guru / orang yang lebih tua.

2. Tolong-menolong / bantu-membantu

  • Kita perlu membantu ibu bapa meringankan beban mereka
  • Kita perlu membantu murid-murid / adik yang lemah dalam pelaiaran.
  • Kita perlu membantu orang yang menghadapi kesusahan/ bermasalah.

3. Bertanggungjawab

  • Kita mesti bertanggungjawab menjaga kebersihan kelas/ rumah / alam sekitar kita.
  • Kita mesti bertanggungjawab menyiapkan kerja rumah yang diberikan.
  • Kita mesti menjadi seorang anak / murid yang bertanggungjawab.

4. Menjaga kebersihan

  • Kita mesti sentiasa menjaga kebersihan rumah / sekolah / tempat tinggal / diri sendiri.

5. Menjaga kesihatan

  • Kita mesti sentiasa menjaga kesihatan diri dengan makan makanan berkhasiat.

6. Mendengar nasihat

  • Kita mesti mendengar nasihat guru / ibu bapa / orang lain.

7. Hemah tinggi

  • Kita mesti bergaul mesra dengan semua orang.
  • Kita mesti berbudi bahasa dalam pergaulan.
  • Kita mesti mengakui kesalahan diri serta sanggup berubah.

8. Kasih sayang

  • Kita mesti bersikap sayangkan diri sendiri / orang lain.
  • Kita mesti bangga dan taat setia kepada negara.

9. Baik hati

  • Kita mesti bersikap belas kasihan terhadap kesusahan orang lain.
  • Kita mesti bertimbang rasa terhadap kesusahan orang lain.
  • Kita mesti bermurah hati memberi bantuan kepada orang lain.
  • Kita mesti saling faham-memahami antara satu dengan yang lain.
  • Kita sanggup meminta dan memberi maaf kepada orang lain.

10. Keadilan

  • Kita mesti bersikap adil membuat sesuatu perkara.

11. Bersopan santun

  • Kita perlu bersopan santun kepada guru / ibu bapa / rakan/ orang yang lebih tua.

12. Menghargai masa

  • Kita mesti menghargai masa dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang berfaedah.

13. Berjimat-cermat

  • Kita perlu berjimat-cermat dengan wang / bekalan air / bekalan elektrik.

14. Rajin

  • Kita perlu rajin membaca untuk lulus dengan cemerlang.

15. Jujur

  • Kita perlu bersikap jujur melakukan sesuatu dengan tidak bercakap bohong.

16. Berhati-hati

  • Kita merti berhati-hati pada setiap masa / di jalan raya / semasa bekerja.

17. Kesyukuran

  • Kita perlu bersyukur dapat hidup dengan aman.
  • Kita perlu mengenang jasa ibu bapa / guru kita.

18. Bertolak ansur

  • Kita perlu bertolak ansur antara satu dengan yang lain.

19. Berterima kasih

  • Kita perlu mengucapkan terima kasih atas bantuan yang diberikan.

20. Kejiranan

  • Kita perlu bersikap kejiranan terhadap jiran tetangga.

21. Kesederhanaan

  • Kita perlu bersikap kesederhanaan pada setiap masa.

22. Berdisiplin

  • Kita mesti berdisiplin pada setiap masa.

23. Cinta akan negara

  • Kita perlu cinta akan negara dan bersyukur kerana negara kita aman damai.

24. Berani

  • Kita perlu bersikap berani menghadapi cabaran / masalah.

25. Mematuhi peraturan

  • Kita mesti mematuhi peraturan pada setiap masa.

26. Bekerjasama

  • Kita perlu sentiasa bekerjasama melakukan sesuatu kerja.

27. Berdikari

  • Kita mesti berdikari dan sanggup melakukan sesuatu tanpa mengharapkan bantuan orang lain.


REFLEKSI

BIBLIOGRAFI